Love U Guys

Friday 28 October 2011

Perempuan vs Lelaki = Siapa yg kuat cemburu??


Kalau tidak ada perasaan cemburu dalam hubungan, memang tidak sah. Mana mungkin setiap saat dan setiap detik, kita akan tetap berfikiran positif. Selalunya, kaum perempuan memang akan dikaitkan dengan sikap cemburu. Cemburu buta, kuat cemburu, terlalu cemburu, cemburuuuu, semuanya sering dikaitkan dengan kaum perempuan. Namun, jangan sangka kaum lelaki tidak pernah cemburu, malah sekiranya lelaki berasa cemburu, memang buruk padahnya apatah lagi apabila si lelaki sememangnya bersikap KUAT CEMBURU atau CEMBURU BUTA.
Sebenarnya, perasaan cemburu memang perlu dalam sesebuah hubungan namun perlu berpada-pada. Jangan sampai dilabelkan sebagai kuat cemburu. Kadang-kadang, kurang cemburu juga boleh menyebabkan hubungan menjadi kucar-kacir. Kadang-kadang pula, cemburu keterlaluan juga akan menyebabkan hubungan terus kacau-bilau. Cemburu memang menjadi sebahagian daripada kehidupan kaum perempuan. Maksudnya, sekiranya si perempuan itu tidak pernah berasa cemburu, mungkin hatinya tidak begitu telus menyayangi kekasihnya atau mungkin juga dia tidak normal!
Namun, awas sekiranya kekasih anda sentiasa cemburu terhadap anda. Apa jua yang anda lakukan, ke mana sahaja anda pergi, dengan siapa anda bersama, pasti dia akan berasa cemburu dan tidak senang duduk. Cemburu tandanya sayang namun kalau setiap masa akan cemburu, memang itu sengaja menempah bala dalam hubungan. Bertuah sungguh bagi lelaki yang mendapat pasangan yang dapat mengawal perasaan cemburu dan beruntung juga bagi perempuan sekiranya memiliki kekasih yang sentiasa menyokong dan mengawal perasaan cemburu.
Perempuan mula cemburu sejak zaman Nabi Yusof dan Zulaikha lagi, jadi tidak hairan kalau kaum perempuan sentiasa berasa cemburu sekiranya mereka berasa tergugat dengan keadaan sekeliling. Apabila kaum perempuan berasa tergugat dan terancam, perasaan cemburu secara automatiknya akan wujud dalam hati mereka. Hal ini mungkin terjadi kerana kaum perempuan ingin memastikan hak mereka sentiasa terjamin. Hak yang dimaksudkan ialah kasih dan sayang lelaki terhadap perempuan dan kasih sayang tersebut tidak boleh dikongsi bersama perempuan lain. Perkara yang sama turut terjadi terhadap kaum lelaki apabila mereka berasa terancam.
Perasaan cemburu muncul disebabkan oleh pelbagai perkara seperti wujudnya gangguan orang ketiga dalam hubungan atau munculnya seseorang yang layak bersaing dengannya untuk merebut cinta si jejaka atau si perempuan. Hal ini secara tidak langsung akan menyebabkan diri mereka berasa terancam dan sentiasa berada dalam keadaan cemas. Kerisauan yang keterlaluan akan wujud dalam diri sehingga menyebabkan pelbagai masalah yang lain timbul.
Namun, kita tidak boleh salahkan individu tersebut seratus peratus. Apa yang dilakukannya hanyalah untuk mempertahankan haknya sahaja. Niatnya cuma satu sahaja iaitu cinta yang diberi dan diterima itu tidak boleh terputus begitu sahaja malah dia juga tidak mahu hubungan cinta hancur akibat gangguan sekeliling.
Kaum lelaki mungkin akan berasa rimas dengan perempuan yang kuat cemburu ini. Tetapi, percayalah, perempuan sebenarnya tidak mempunyai niat untuk mengawal dan mengongkong hidup lelaki yang disayanginya. Perempuan langsung tidak mempunyai niat untuk cemburu namun akibat ingin melindungi hak mereka, perasaan cemburu itu akan muncul. Baik lelaki mahupun perempuan, masing-masing ingin memastikan kekasih yang dipuja sekarang akan tetap menjadi milik mereka sehingga ke akhir hayat.
Mungkin ini merupakan salah satu punca mengapa terdapat segelintir manusia yang sanggup membunuh pasangan sendiri. Kerana cemburu! Bahaya bagi individu yang gagal mengawal cemburu dan keadaan akan menjadi parah bagi individu yang berada di sekelilingnya. Apa yang perlu dilakukan bagi mengelakkan perasaan cemburu menguasai minda adalah dengan mengamalkan sikap saling percaya antara satu sama lain. Cuba berfikiran terbuka dan positif walaupun hati cuba untuk menghasut supaya berfikiran negatif. Perkara penting yang perlu diingat ialah SEKIRANYA ADA JODOH DAN MEMANG DITAKDIRKAN UNTUK BERSAMA, SEJAUH MANA DIA PERGI, DIA TETAP AKAN KEMBALI UNTUK BERSAMA DENGAN ANDA. (:

p/s: Ape pendapat korang?? Lelaki ke perempuan yg kuat jelous ni?? Kalau aku, aku akan pilih lelaki... yeahh... huhuhuhuhu.. :p 

Jangan Segan Jangan Malu Nak LIKE Yer

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...