Love U Guys

Friday 23 September 2011

Aku Benci Isteri Aku

 ini cerita tentang isteri aku, orang tua aku telah pinangkan aku seorang perempuan tanpa persetujuan aku, ketika aku mendapat tahu aku bakal dinikahkan cuma tinggal seminggu saja lagi, kelengkapan telah siap, kad kahwin juga telah diedarkan, ketika itu tiada jalan untuk patah balik. atas alasan apa ibu bapaku laksanakannya hanya Allah saja yang tahu. sungguh inilah realitinya...jika Allah kehendakan sesuatu pasti Dia akan buat dan tiada satu pun yang mampu halang. 3 bulan yang lalu ada aku nyatakan hasrat aku untuk menikah, tapi bukan dengan cara begini.



Sebelum itu, nama isteriku, Jazrin, (bukan nama sebenar). Sebenarnya, sudah lama aku kenal dia, sejak dari kecil lagi, aku dan Jazrin sebenarnya berjiran. Aku masih ingat, ketika kami tingkatan satu, dia seorang yang sangat naïf, buktinya Jazrin ada mewakili untuk pertandingan pidato, perbahasan, malah dia sangat disayangi cikgu. Tetapi bila sampai tingkatan 3, sikapnya mula berubah, tudungnya yang sentiasa labuh bila lama kelamaan, semakin pendek, kemudian bila tingkatan 5, kami dikejutkan yang dia ditangkap oleh guru atas kesalahan merokok dan ‘dating’. Tapi bila exam, jarang sekali dia gagal, malah susah untuk dapat C. Memang pandai, tapi akhlak entah kemana.
Sampai masanya, aku sambung belajar, dalam lingkungan umur itu, sepatutnya masing-masing sambung belajar atau kerja, tetapi tidak bagi Jazrin, dia lebih selesa tinggal dirumah menganggur. Pernah satu ketika aku pulang kerana cuti semester, pukul 6.30 aku keluar ke masjid bersama ayah, untuk solat maghrib dan ceramah pada malam itu, kelihatan Jazrin bersama kawan-kawan lelaki sedang melepak, rambutnya kuning, dan paling menyedihkan, ada seputung rokok dihujung jari Jazrin. Ya Allah, bencinya aku melihat gelagatnya rasa nak lempar pasir saja pada muka dia, harap muka saja cantik, tapi, masyaAllah!
Pulang saja kami dari masjid, mereka masih berada disitu, malah lebih ramai, aku bertanya kepada ayah, kemana ibu bapa Jazrin, jawab ayah, mereka ke Indonesia atas urusan perniagaan. Sehinggalah satu hari, seperti ombak aib menghempas kemuka ibu bapa Jazrin, Jazrin hilang lari dari rumah. Seminggu ibu bapa Jazrin berendam air mata dan sepanjang seminggu itu jugalah tak putus-putus ibu bapanya mengadakan bacaan yassin dirumah mereka, dan keluarga kami juga turut terkena tempias sama, ibu tidak pernah putus membantu memberikan semangat dan melibatkan diri dalam pencarian Jazrin, masakan tidak ia tidak terbeban buat kedua-dua pasangan suami isteri itu, Jazrin itu sajalah penawar dan racun buat diri mereka. Tepat jam 10.30 malam, bersama ayah sedang aku bertadarrus, ibu mendapat panggilan yang mengatakan Jazrin telah menyerah diri dibalai polis Johor Bharu. Ibu menangis kesyukuran, dan aku sendiri bercampur baur perasaannya, menyampah ada, lega pun ada. Hendak dijadikan cerita sepanjang tempoh seminggu itu, seluruh kegiatan sosial Jazrin terbongkar.
Siapa teman lelakinya, kelab malam mana yang menjadi kegemarannya, dadah, rokok dan arak jenis apa yang menjadi kegemarannya terbongkar. Semuanya terpalit kemuka kedua ibu bapanya, malu yang teramat sangat. Tapi saat itu tiada apa yang dipeduli, yang penting anak mereka selamat kembali ke pangkuan mereka. Begitulah betapa besar sayangnya ibu bapa terhadap anak. Busuk sekalipun, air dicincang tak mungkin putus. Ombak kembali reda. Saudara mara Jazrin tidak lagi kerumah membaca yassin, dan kami juga begitu, saya sendiri, tinggal beberapa hari lagi untuk kembali ke kolej untuk memulai semester akhir.
1 tahun aku ke Sabah menghabiskan pengajian, dan setelah tamat aku tinggal dirumah sementara menunggu hari
graduasi. Namun masa tidak aku bazirkan sewenang-wenangnya melainkan aku cuba mendapatkan pekerjaan yang sesuai sementara menunggu hari tersebut. Pernah pada satu hari, aku keluar membeli sarapan pagi, aku melihat seorang wanita muslimah bertudung litup sedang menyidai kain, sangkaan aku itu orang gaji pada keluarga Jazrin. Tetapi bila aku amati betul-betul, sah memang itu Jazrin. Alhamdulillah, banyaknya dia berubah. Sungguh kesilapannya telah banyak mengajar. Tapi bukan bermakna aku mahu dia sebagai isteri aku, aku tak mahu mengenangkan kehidupannya dulu. Darah dagingnya telah terpalit benda-benda haram, mana mungkin aku mahukan zuriat dari orang seperti dia.
Tetapi tanpa disangka-sangka, apa yang bermain-main dalam fikiranku benar-benar berlaku. Aku dan Jazrin akan dinikahkan tidak lama lagi.
3 bulan telah berlalu dan kami tidak pernah berbual apatah lagi aku menyentuhnya, melihatnya membuatkan aku benci. Terimbas segala perbuatannya dahulu, dan terbayang gejala dia bergaul bebas dengan lelaki berhidung belang. Sungguh aku benci.
Sehinggalah satu hari, dia menyediakan minuman dan menghulurkan air tersebut pada tanganku, air tersebut panas, bila memegang gelas panas tersebut tanganku pantas melepaskannya kerana tidak tahan menahan panas dari air tesebut, terus gelas itu pecah, dan Jazrin, tanpa bersuara apa-apa pantas mengutip serpihan kaca di hujung kakiku, dan dia menangis. Melihatkan dia menangis aku menjadi keliru dan tidak teragak-agak untuk bertanya kenapa dia menangis. Masih terngiang-ngiang jawapan dia kepada aku.
‘maafkan saya abang, saya tidak mampu menjadi isteri yang baik, tetapi berilah saya peluang, saya tak mahu dihina diakhirat kerana menjadi isteri derhaka dan si penzina yang meminum arak, cukuplah satu dosa berat saya pada Allah’
Berilah peluang. Berulang-ulang kali perkataan itu muncul dalam benak. Seperti hujan yang menimpa atas diri saya, betapa besarnya dosa saya terhadap Jazrin, betapa angkuhnya saya, ya Allah betapa sombongnya dan jauhnya saya daripada mensyukuri nikmatmu. Semuanya kembali jelas dan kali ini air mata aku pula mengalir tidak henti-henti.
Semuanya datang dari Allah, darah daging yang pernah memasuki benda haram bukan bermakna akan lahirnya zuriat biadab, tetapi semua dengan izin Allah, Allah yang beri, tiada yang mustahil bagi Allah. Taubat Jazrin lebih tinggi nilainya, airmata dia lebih berharga berbanding aku, teguhnya dia pada syariat lebih tinggi kerana dia benar-benar telah ‘merasai pahit’ dosa berbanding aku yang sentiasa bergelumang dengan dosa kecil yang aku tidak sedari, Jazrin, dia lebih mengerti erti dosa berbanding aku. Allah, Dia telah berikan aku wanita yang cukup mulia, pandangan kemuliaan itu bukan dinilai dari mata manusia tapi dari Allah, Allah yang lebih tahu taubat hambaNya, sejak saat itu, dialah tulang belakang aku. Dialah Rabiatul Adawiyah aku, ya Allah terima kasih, aku lupa, aku alpa, apa saja ada pada pandangan manusia, dia telah berubah, Allah telah bersihkan dia dengan bersih-sebersihnya. Apa layaknya aku menilai dia. Allah mengampunkan dan memberi peluang kepada hambaNya, dan apa hebatnya kita untuk tidak memaafkan dan tidak memberi peluang kepada manusia lain, masuk syurga itu kerana rahmat Dia, bukan ilmu, atau amalan kita. Allahurabbi.
Semoga kisah hidupku menjadi teladan dan sandaran kepada manusia diluar sana yang ingin berumah tangga, jangan dilihat dia pada masa dulu, lihat dia pada masa sekarang. Allah menciptakan manusia penuh dengan kelemahan, kerana itulah kita mesti saling berkenalan dan membantu demi menuju Yang Satu.

* moralnya tiada siapa yang sempurna didunia nie.....




~EyazzYaacob~

Jangan Segan Jangan Malu Nak LIKE Yer

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...